BAB 8
PIN…PIN..
Sedang
Qisya berjogging dengan Marsha tiba-tiba terdengar bunyi hon nyaring ke arah
mereka. Terpaksalah Qisya dan Marsha ke
tepi walaupun masih ada ruang untuk kereta tersebut lalu. Kereta sport itu dipandang dengan pandangan
geram. Qisya tahu siapa pemilik kereta
sport merah itu.
“Biadapnya!” cemuh Marsha.
Qisya
membuat tidak tahu sahaja dan mereka meneruskan jogging mereka. Tidak lama kemudian, langkah mereka terhenti
apabila pemuda yang membawa kereta sport merah itu menghentikan kenderaanya
secara menegak di tengah-tengah jalan.
Melampau betul. Pemuda itu keluar
dari kereta dan memandang ke arah Qisya.
“Qisya
jomlah” Marsha memaut lengan Qisya. Qisya mengeraskan dirinya.
“Hai,
berjogging dengan awek cantik nampak”
suara itu sengaja diarahkan kepada Qisya. Tersungging bibir Qisya mendengar kata-kata
Farhan.
Nak
apa lagilah mangkuk ni. Tak habis-habis nak cari masalah dengan
aku. Tak puas hati lagi ke hari tu dah
kena penumbuk, lepas tu kena sepak kat tulang kering. Hisyhh.
“Qisya
jomlah pergi. Abaikan je dia ni” Marsha masih mahu memaksa. Qisya buat endah tak endah sahaja. Dalam otaknya sekarang, bermacam-macam benda
yang dia nak buat pada lelaki itu.
Sidekick belah kanan, tak pun belah kiri. Back flip kepala mungkin. Tak pun bagi penumbuk kat perut.
“Hey
kau, kau tak boleh nak bezakan antara lelaki dan perempuan. Asal kau masih nak melekat dengan dia
ni. Dia dah bagi apa kat kau” tanya Farhan kepada Marsha.
Langkah
kaki Marsha kehadapan dan Qisya pantas memaut tangan Marsha.
“Melampau!” Marsha mengerutu geram.
“Jaga
sikit mulut tu. Dia ni perempuan” kata
Marsha dalam keadaan marah.
“Habis,
hati kau tu takkan tak ada rasa apa-apa pada dia. Jatuh cinta pandang pertama ke or so
whatever”
“KAU..”
Tiba-tiba,
Marsha merasakan Qisya memeluk lehernya dan mereka berdua berdiri dalam keadaan
yang sangat rapat. Tergamam Marsha tak
tahu nak cakap apa.
Farhan
tersenyum sinis. Tapi dalam hatinya..
Asal
aku rasa cemburu pula ni. Hisyhh kau ni
gilalah Farhan. Jangan nak buat
macam-macam.
“Dah
macam pasangan lesbian pulak aku tengok”
Farhan menyindir.
“Ouh,
kalau BFF tak boleh buat macam ni” kata
Qisya. “Dia ni dah macam adik saya. So tak salah kalau saya nak peluk dia ke, nak
cium dia ke. Ada masalah?”
Farhan
menghamburkan ketawa singkat. Ketawa
yang dibuat-buat. Melihat keadaan Farhan
seperti itu, sengaja Qisya nak menambahkan api.
Dia sengaja mencium pipi Marsha.
Terbuntang mata Marsha. Macam nak
gugur jantung dia. Asal dia rasa muka
dia dah merah-merah pula ni.
“Ini
tandanya saya sayang dia. So, ada
apa-apa lagi?”
“Gila. Perempuan gila!” jerit Farhan tidak semena-mena. Dah macam gaya orang yang kena sampuk pun
ada. Dia tahu Qisya sengaja memperlakukan
seperti itu.
Qisya
melepaskan Marsha dan dia berjalan menghampiri Farhan dengan rasa beraninya dia
dan dia perasan wajah Farhan berubah 180 darjah. Lelaki itu kena diajar sekali. Kedudukan dia dan Farhan sangat rapat. Hanya tiga inci sahaja jarak mereka.
“Kau,
kalau kau tak nak tengok yang lebih-lebih, aku cadangkan kepada kau beredar
dari sini” tiba-tiba panggilan pun sudah
bertukar. Tiada lagi panggilan abang
buat lelaki itu. Suara Qisya separuh
mengugut.
Qisya
merapatkan lagi dirinya dan badan Farhan makin lama makin tersandar ke
keretanya. Qisya tersenyum sinis sambil
bersilang tangan.
“Dengar
sini Encik Farhan, mulai dari hari ini anggap kita tak pernah kenal” ayatnya itu disusun satu-satu. Farhan menelan air liur kasar. Mata mereka bertentangan dengan sangat lama.
Qisya
dah berani sekarang.
Tiada
lagi sebarang ayat yang mampu diluahkan oleh Farhan. Qisya menarik tubuhnya semula dan dia
berjalan dalam dua langkah pendek ke belakang dan Farhan menegakkan semula
badannya.
“Selamat
tinggal” sengaja Qisya mengucapkan
selamat tinggal kepada Farhan kerana dia tahu lelaki itu tidak suka dengan
ucapan itu. Argh peduli apa, macamlah
mereka akan bertemu lagi. Tapi kalau dah
tinggal di kawasan yang sama, memang nak cakap kebarangkalian tu memang selalu
sangatlah jumpanya. Tapi mungkin
masing-masing buat tidak tahu sahaja.
“Marsha
jom!” katanya kepada Marsha. Marsha mengikut daripada belakang dan dia
sempat membuat isyarat penumbuk kepada Farhan.
Padan dengan muka kau!
ARGHH,
Anak
patung sederhana kecil itu dilempar ke tepi dinding dengan rasa marah
bergunung-ganang. Dia tidak tahu kenapa
dia perlu marah seperti itu. Anak patung
yang dibelinya malam tadi kononnya ingin diberi kepada Qisya sempena hari
lahirnya semalam, tetapi dia sendiri tidak tahu bagaimana cara untuk dia
memberi hadiah itu kepada Qisya. Qisya
mungkin tak akan terima pemberiannya.
“Kenapa
aku masih nak kisahkan dia sedangkan dia langsung tak nak berbaik dengan
aku. Aku je terhegeh-hegeh cari ruang
nak bercakap dengan dia”
Dia
berjalan termundar-mandir di dalam biliknya.
Dia merengus geram sesekali.
‘Itu
maknanya kau masih sayangkan dia. Sebab
itulah kau asyik cari jalan nak bercakap dengan dia’
“Ya
ke aku sayangkan dia. Tak mungkin ah!”
‘Ala
tengok ajelah tadi. Waktu dia rapat
dengan Marsha, sebenarnya kau cemburukan diakan. Kau tak suka dia rapat dengan orang
lain. Yalah sebelum nikan kau memang
rapat dengan dia’ suara asing itu
kedengaran lagi.
“Takkanlah
aku nak kena cemburu pula. Buang masa
je”
‘HAHAHA,
kau boleh tipu orang lain tapi kau tak boleh tipu diri kau sendiri. Kau sebenarnya sukakan dia. Kau sebenarnya tak kisah pun perwatakan dia
macam mana asalkan dia masih Qisya. Yang
penting dia tu perempuan!’
“ARGHH,
diamlah kau!”
TUK..TUK..
“Siapa?” soalnya kasar.
Pintu
terkuak dan ditolak dari dalam.
Terjengul wajah mamanya. Puan
Marina.
“Apa
yang bising-bising ni. Sampai ke bawah
mama dengar suara kamu bercakap seorang diri”
“Tak
ada apalah mama” beritahunya dengan
suara malas. Dia mencapai tuala dan
masuk ke dalam bilik air selepas itu.
“Haih
budak ni. Macam-macam”
MALAM itu selepas berchating dengan
Marsha, tiba-tiba baru dia nak melelapkan mata
ada mesej Whatsapp masuk. Dia menarik handphonenya dan membuka.
Ayiez Dak Sengal: tidur dah ke?
Qisya Aku : Belum, asal?
Qisya ‘save’ kan nombor Ayiez sebagai ‘Ayiez
Dak Sengal’ dan Ayiez ‘save’ kan nombor Qisya sebagai ‘Qisya Aku’. Nampak tak permainan mereka.
Ayiez Dak Sengal: Aku
nak tahu jawapan kau malam yang lepas.
Kau tak beritahu aku lagi pun apa perasaan kau.
Qisya Aku
: HAHAHA, apalah awak
ni. Asal nak tahu sangat. Tak payahlah nak tahu.
Ayiez Dak Sengal: Ala,
sporting lah dengan aku. Tak payah nak
segan-segan. Huhi.
Qisya Aku
: Ha, nak kena jawab
betul-betul ke atau nak tipu-tipu.
Ayiez Dak Sengal: Betul-betul
lah. Jujur dengan aku. Cepatlah!
Qisya Aku
: Hisyhh, memaksa
pulak. Yalah aku jujur. Sebenarnya aku rindu sikitlah dekat kau. Ha puas?
Mesej yang
diberi mengeluarkan dua tick di hujung ayat menandakan Ayiez telah membaca. Kemudian
dia melihat Ayiez sedang menulis.
Ayiez Dak
Sengal: Ouh okey.
Dan kemudian
Qisya tidak membalas, kerana jam telah menunjukkan hampir pukul satu pagi. Ini semua gara-gara melayan Marsha tadi. Naik kematu jari jemarinya. Penat pun ada.
Ayiez Dak
Sengal: Qisya…
Qisya
Aku : Krooohhhhh…
Ayiez Dak
Sengal: Herm, okey. Good night.
Sweet dream
Tiada
balasan seterusnya daripada Qisya.
Mungkin dia benar-benar mengantuk.
TIBA-tiba
dia merasakan ada nafas yang sangat dekat pada wajahnya. Cahaya luar tingkap menerobos masuk ke dalam
biliknya. Selepas solat subuh, Qisya
langsung tidur semula. Dia membuka mata
perlahan dan matanya yang kabur dapat menangkap ada wajah di hadapan matanya.
Erm, aku mimpi jumpa bidadari mana
pulak ni. Wanginya.
Dia menguntum senyuman tanpa
disedari. Dan tiba-tiba, dia tersentak
bangun dari pembaringannya dan mengakibatkan kepalanya terhantuk dengan kepala
Marsha. Kedua-duanya mengosok kepala
mereka yang sakit.
“Aauu” Marsha menahan air matanya daripada
keluar. Sangat menyakitkan.
“Eh sorry lah. Awak tak apa-apa?” sedang kepalanya masih terasa sakit juga, dia
masih kisahkan Marsha. Dia menolong
meniup kepala Marsha. Kuat sangat mereka
berlaga kepala tadi. Macam terhantuk kepala dengan dinding.
“Eh, janganlah nangis. Sorry, saya tak sengaja. Saya terkejut sebenarnya. Awak tengok saya tidur ey?”
Marsha mencebir bibirnya. Seronoknya bila ada orang kisahkan dia. Lagi satu bila ada orang yang beri perhatian
kepada dia. Dia memang tak ada adik
beradik yang lain. Sebab itu dia mahu
rapat dengan Qisya.
“Maaf, salah saya juga sebab buat
awak terkejut. Saya nak ajak awak
breakfast”
“Breakfast. Ala awak, saya tak mandi
lagi. Dah pukul berapa sekarang?”
“Dah pukul 10 pagi”
“Ini bukan breakfast dah. Ini kita panggil brunch”
Marsha tersenyum simpul. Qisya menolak badannya turun dari katil.
“Saya mandi dulu”
“Kalau macam tu saya tunggu kat luar
ajelah”
“Ha, okey”
Setengah jam kemudian, Qisya turun
ke bawah. Dia menuju ke meja makan dan
melihat Marsha sedang menghidang makanan untuk mereka. Mana ibu?
“Dah siap” tegur Marsha.
“Duduklah”
“Mana ibu?”
“Ooo ibu awak pergi beli barang
basah sekejap”
“Ala, kenapa ibu tak beritahu
saya. Boleh temankan ibu angkat
barang” wajah Qisya kelihatan menyesal
kerana terlajak tidur sehinggakan ada orang lain yang sediakan brunch untuknya.
“Saya ada buat sandwich dari
rumah. Nah makanlah” dia meletak dua kepingan sandwich yang telah
dikerat dua di atas pinggan Qisya. Jus
manga tidak berais dituang ke dalam gelas Qisya juga.
“Saya ada masakkan nasi goreng
juga” kata Marsha bernada gembira. Mungkin nak tunjuk bakat yang dia pandai
memasak.
“Awak ni susah-susah je masakkan
untuk saya”
“For my BFF tak apakan”
Qisya merasai sandwich tuna yang
dibuat oleh Marsha dan mengunyah dengan perlahan.
“Macam mana?” Marsha duduk dengan dekat dan menanti
jawapan Qisya. Qisya mengangguk dan
makan sahaja. Dia menghabiskan roti
sandwich tersebut tanpa berkata apa-apa pun.
Kemudian dia menghabiskan separuh air manga di dalam gelasnya.
“Nasi?” Marsha melayani Qisya seperti dia melayan
kekasihnya pula. Dua senduk nasi dicedok
ke dalam pinggan Qisya.
“Awak tak makan sekali?”
“Saya diet” Marsha tersengih. “Okey tak nasi goreng
saya?”
“Ermm, okey je”
Tadi aku rasa macam terletak garam
lebih. Tapi tak ada sebarang komen
pun. Erm, okey kot. Bisik Marsha sekadar menyedapkan hatinya
sahaja.
Selesai mengambil brunch, Qisya ke
tandas. Marsha merasai sedikit sandwich
yang tidak disentuhnya dan pantas mengeluarkan semula sandwich di dalam
mulutnya. Tak sedapnya. Kenapa rasa lain macam sangat ni. Malam tadi dah cuba buat, kenapa rasanya tak
sama. Ke salah brand tuna. Ah, sudah!
Nasi?
Dia merasai sesuap nasi dan
tergamam. Pedasnya. Berapa banyak cili aku letak ni. Mampus aku.
Patutlah Qisya pergi tandas.
Mesti perut dia tak tahan.
Tidak lama kemudian, Qisya
keluar. Marsha menunggu sahaja dari luar
tandas.
“Awak sakit perut ke? Lamanya awak duduk dalam tu” tanya Marsha dengan rasa tidak sedap hati.
“Ha, aha” Qisya keluar dan diikuti oleh Marsha.
“Awak nak ubat sapu?”
“Eh tak payah. Saya dah okey. Eh, terima kasih ya buatkan brunch untuk
saya”
“Lain kali saya akan pastikan ianya
selamat untuk dimakan. Saya tahu saya
tak pandai masak. Tapi mujur awak
sekadar sakit perut. Papa saya pernah
makan masakan saya, dan lepas tu dia kena tahan wad sebab keracunan
makanan. Saya takut benda yang sama
berlaku kepada awak pula”
“Ouh” Qisya menelan air liur. Masuk wad?
Tak menahan sampai macam tu sekali makan masakan dia. Untung aku sakit perut biasa je. Harap-harap lepas ni dia tahu cara nak
perbaiki masakan dia.
“Awak jom pergi jogging” ajak Marsha.
“Jogging? Er, saya baru je lepas makan. Takut nanti termuntah pula saya kat tengah
jalan. Rasanya tak kut. Hari ni saya nak jumpa kawan saya” beritahu Qisya.
“Kawan?” Marsha sangat berharap yang Qisya akan cakap
macam ni kepada dia. “Jomlah ikut sekali”
dia sangat berharap sangat-sangat.
Marsha menungggu sahaja Qisya
berkata begitu kepadanya namun semuanya hanya pemikirannya sahaja.
“Awak nak pergi jumpa kawan awak
pukul berapa?”
“Saya dah janji nak jumpa dia dalam
pukul 11 pagi ni”
Marsha melihat jam ditangannya dah
menunjukkan angka 10:30 pagi. Wajahnya
cembung. Dia akan kebosananlah hari ni.
“Nampaknya saya kena pergi
sekarang. Nanti lambat pula”
“Ouh, tak apalah saya jaga rumah
awak. Saya tunggu ibu awak pulang sahajalah”
“Okey!”
FARHAN
terserempak dengan Qisya sewaktu dia sedang mencari barang di butik-butik
berhampiran. Qisya bersama dengan dua
orang pemuda yang kelihatan rapat dengannya dan juga seorang gadis. Gadis itu sedang membawa beg gitarnya ke hulu
ke hilir sama seperti Qisya.
“HERMM..” Farhan menghalang perjalanan Qisya secara
tiba-tiba. Qisya memandang lelaki itu
dengan rasa menyampah gila. Apa pulalah
mamat ni nak. Kat mana-mana aku pergi je
mesti dia mengekor. Aih, tak gemar betul
perangai macam ni.
“Nak pergi ke mana ni?” tanya Farhan.
“Basking” jawab Qisya nak tak nak sahaja.
Farhan memandang wajah-wajah yang
bersama-sama Qisya di situ. Semuanya
memerhatikannya dengan pandangan, ‘siapa mamat yang tegur Qisya ni.’
“Abang nak cakap dengan Qisya
sekejap” dia menarik tangan Qisya dan
membawa gadis itu jauh daripada budak-budak basking yang lain.
“Kenapa tak cari kerja yang lebih
berfaedah?”
“Apahal pula nak sibuk-sibuk pasal
Qisya ni. Biarlah Qisya nak buat apa
pun. Ini hidup Qisya. Ayah pun tak kisah Qisya nak buat apa. Yang abang nak sibuk-sibuk ni kenapa?” katanya dengan suara menderam.
“Tak habis lagi ke ha. Asyik nak marah abang je”
“Selagi abang hidup, selagi Qisya
hidup dan kalau tiada salah seorang daripada kita yang mati benda ni akan terus
berlarutan”
Farhan mengeluh. Dia merenung mata Qisya. Matanya masih sama dengan mata kecilnya. Bundar dan cantik.
“Dah tak ada apa-apakan. Qisya nak gerak”
“Nanti dulu Qisya. Abang tak habis lagi cakap dengan Qisya.”
“Hisyhh, abang ni nak cakap apa?”
Farhan mengeluarkan beg dompetnya
dan mengeluarkan not RM200 ringgit dan menghulur kepada Qisya di hadapan
rakan-rakan baskingnya. Kelihatan mereka
semua tertarik dengan duit yang dihulur kepada Qisya.
“Qisya ambik ajelah. Boleh kita mainkan brother ni lagu. 200
ringgit tu. Banyak kot” celah kawannya.
“Cepat. Mainkan abang lagu. Qisya tahu menyanyikan”
Nak tak nak, bila ada yang membuat
permintaan, dia kena turutkan. Dia
mengambil dan bersiap sedia bersama-sama rakan-rakannya untuk memainkan lagu
buat Farhan.
“Abang nak dengar lagu apa?” tanya salah seorang dari rakan Qisya.
“Abang nak korang mainkan lagu
terbaru korang”
“Lagu baru. Ouh, lagu Qisya hari tu ya”
Qisya menjeling sahaja Farhan. Memang sengajakan dia.
Tak apa, buktikan yang kau boleh dan
berkemampuan. Dia mula memetik gitar.
Saat bersama dirimu
Aku ingin kau tahu
Cinta ini adalah untuk mu
Saat kau pergi hati ku merintih
sakit
Ingin ku usir tangisan ku dengan
nyanyianku
Kau pergi tanpa berita
Kau hilang tanpa cerita
Tinggalkan ku keseorangan
Kekosongan..
Entah kenapa
air matanya sudah mula bertakung dikelopak matanya. Kelihatan suaranya
serak-serak basah. Farhan seakan-akan
dapat merasai apa yang sedang disampaikan oleh Qisya. Lagu ni memang sedang ditujukan khas
untuknya.
Apa salahnya jika kau ucapkan
selamat tinggal
Membuatkan ku berasa ada dirimu
Suaramu
Renungan matamu
Mengamit hati ku
Izinkan ku melupai mu
Sebaik
sahaja dia menghentikan petikan gitarnya, rakan-rakannya memandang ke arahnya
dengan pelbagai rasa. Kenapa dengan
Qisya. Dia nampak terlalu menghayati
lagu yang dinyanyikannya tadi.
“Eh, Qisya kau nak pergi mana?”
“Korang teruskanlah tanpa aku. Gitar ni korang pegang. RM200 ringgit tu banyak. Tiba-tiba tekak aku rasa sakit. Aku nak balik dululah” tanpa memandang mata sesiapa pun, Qisya
beredar pergi. Farhan memandang gadis
itu, dia perlu kejar dan selesaikan masalah mereka. Dia tahu pasti ada sebab kenapa Qisya
bersikap dingin dengannya. Mungkin ada
sesuatu yang dia tidak tahu, ataupun semuanya telah diluahkan di dalam lagu
tadi.
Qisya tidak sedar yang dia sedang
dikejar oleh Farhan dari belakang.
Sewaktu dia ingin melangkah ke dalam teksi, Farhan menarik tangannya dan
menutup kembali pintu teksi dan menarik gadis itu ke kawasan yang agak sunyi di
tepi bangunan. Kalau nak menjerit pun
boleh.
“Qisya marah abang tak ucapkan
selamat tinggal kepada Qisya. Betulkan?” akhirnya Farhan dapat merungkai
segala-galanya di dalam pemikiran Qisya.
Qisya terpempam. Dia tahu.
“Qisya, abang pernah beritahu Qisya
abang tak suka ucapkan selamat tinggal. Abang nak jumpa Qisya lagi”
“Abang pergi macam tu je. Qisya sakit sebab abang yang buat Qisya rindu
abang dalam tempoh yang lama. Abang
langsung tak telefon rumah sepanjang abang berada di sana. Kenapa abang tak cakap yang abang nak ke luar
negara. Abang kejam!” akhirnya terluah juga apa yang dirasakan di
dalam hatinya.
“Abang minta maaf, abang tak tahu
yang Qisya akan jadi macam ni”
“Sakit sangat abang tinggalkan Qisya
macam tu. Qisya ambil masa nak pulih
sepenuhnya. Qisya tak dapat nak cakap
apa-apa dah pada abang. Abang
kejam! Kejam!”
“Abang minta maaf Qisya. Abang tak bermaksud nak buat seperti
itu. Maafkan abang Qisya” kelihatan air mata Farhan di tahan sahaja. Hatinya sebak setelah mendengar luahan Qisya.
Ya semua ni salah dia. Dia yang
bersalah.
“Anggap sahaja selepas ni, abang tak
pernah kenal Qisya dan Qisya akan anggap abang bukan sesiapa pun dalam hidup
Qisya”
“Qisya, apa yang abang perkatakan
sebelum ni, itu semua abang tak pernah nak maksudkannya pun. Abang minta maaf Qisya. Please Qisya, abang minta maaf banyak-banyak”
“SUDAHLAH. Qisya benci abang” Qisya mengangkat kaki dan berlari
meninggalkan Farhan yang terjerit-jerit memanggil namanya.
“Qisya! Qisya!”
“DAH
seharian Qisya dalam bilik. Dia tak nak
berjumpa dengan sesiapa pun. Mak cik pun
tak tahu kenapa” katanya kepada Ayiez
dan Marsha. Kedua-duanya kelihatan
kecewa setelah mendengarnya. Panggilan
dan mesej daripada Ayiez dan Marsha langsung dibiarkan seperti itu sahaja. Tidak pula dia mahu mengangkatnya. Entah apalah yang telah berlaku kepada gadis
itu sebenarnya.
Awak, ibu awak cakap dah seharian
awak tak makan. Marilah makan.
Saya temankan. :’(
Mesej
daripada Marsha sejam yang lepas.
Wey kenapa dengan kau ni. Ibu kau risau kau tak keluar bilik seharian.
Kau jangan sampai aku pecahkan pintu
bilik kau nanti.
Mesej
daripada Ayiez dua jam yang lepas. Berani nak pecahkan. Memang malam ni aku tidur bilik kau, kau
tidur bilik aku dengan pintu yang kau dah rosakkan. Qisya mengerutu.
TUK…TUK..
“Qisya bukalah pintu ni. Menyesal pula ibu tak buatkan kunci pendua
hari tu”
Ibu janganlah ganggu Qisya. Qisya
tengah sedih ni bu. Bisik Qisya.
“Qisya, keluarlah sayang. Kenapa ni?”
kini giliran ayah pula memujuk Qisya lewat petang itu. Semua orang tidak berjaya memujuk Qisya
melainkan hatinya benar-benar telah pulih.
Ya hatinya perlu diubat.
“MAK cik pun tak tahu kenapa dengan
Qisya. Dari semalam lagi dia asyik
berkurung dalam bilik. Makan pun tak,
minum pun tak. Tahan lapar pulak
tu. Bila ditanya dari luar bilik dia
cakap dia tak apa-apa” beritahunya
kepada Farhan.
Farhan mengangguk sahaja. Semuanya pasti berpunca daripadanya. Mungkin dia patut memujuk Qisya.
“Qisya..mari bercakap sebentar. Abang nak cakap dengan Qisya” dia mengetuk pintu bilik gadis itu.
Senyap.
“Abang tahu Qisya macam ni mungkin
sebab abang, abang minta maaf. Ya abang
tahu abang salah. Tolong Qisya beri
peluang kepada abang untuk tebus kesalahan ni.
Abang merayu dengan Qisya, please Qisya bukakan pintu ni” merayu-rayu dia di hadapan pintu bilik Qisya.
Farhan mengeluh berat. Dia meraup wajahnya. Patut tak dia pecahkan pintu bilik Qisya dan
menceroboh masuk ke dalam. Mana nak
tahu Qisya pengsan ke kat dalam. Dah la
tak makan dan tak minum.
“Qisya, bukalah pintu ni. Abang tak akan berganjak dari sini selagi
Qisya tak bukakan pintu ni. Qisya”
Dia mengetuk perlahan.
Tidak lama kemudian, dia melihat
tombol pintu bergerak sedikit. Wajahnya
sedikit gembira. Mungkin Qisya mahu
bercakap dengannya.
Pintu terkuak dari dalam dan Farhan
separuh terkejut apabila melihat keadaan Qisya yang tidak terurus dengan wajah
pucat dan sedikit membongkok.
“QISYA!”
“Kenapa lambat sangat?”
“Huh?”
“Qisya..” Qisya cuba untuk sampaikan sesuatu dan
tiba-tiba dia ingin jatuh kerana berasa pitam dan Farhan sempat menangkap tubuh
itu.
“Qisya..Qisya..”
Ulasan